Sujud yang indah…

Alhamdulillah, pagi Jumaat yang indah untuk dikenang. Mungkin ia rutin biasa bagi golongan yang terpilih. Namun ia anugerah bagi saya, yang jarang ada peluang sebegini. Solat subuh berjamaah dimasjid.

Sejak kembali dari menunaikan fardhu haji, hanya dua bulan pertama saya berpeluang menyambung rutin berjamaah di masjid, namun ia bukanlah berturut-turut setiap hari. Peluang hanya ada apabila saya pulang ke rumah ibubapa atau ketika adik beradik ipar saya pulang ke rumah ibu mertua.

Ketika itu ada tempat mahu saya sandarkan anak-anak ketika saya mahu menikmati solat jemaah di masjid. Ketika yang lain, saya hanya mohon pada Allah moga-moga pahala suami yang pergi berjamaah juga dapat mengalir untuk saya mudah mudahan.

Pagi ini, suami yang menawarkan peluang buat saya. Anak-anak? Pagi ini kebetulan si kakak (6 tahun) yang bangun bersahur enggan menyambung tidur.  Lalu saya berfikir, saya mahu bertawakkal kali ini. Saya memaklumkan si kakak tentang hajat saya mahu mengikut suami ke masjid, dan berpesan supaya dia menjaga adik yang masih lena.

” Okay, kakak nak buat kerja sekolah kat bilik kakak. Umi balik pulok deh..?”

Saya senyum dan terus bersiap. Ketika sampai semula di rumah kakak masih dengan kerjanya. Kalaulah dapat peluang begini setiap hari….

Saya pernah minta dengan suami sebelum ini, tapi suami tak izinkan sebab tak yakin meninggalkan anak-anak yang sedang lena tidur. Lagi pun perempuan tak dituntut berjamaah seperti lelaki, dan InsyaAllah ada bahagian pahalanya untuk itu.

Pernah saya masukkan entry terdahulu tentang cubaan kami membawa anak-anak bersama berjamaah di masjid. Asalnya ia okay, namun anak ke dua (status  sebenar ke 3) belum boleh menyesuaikan diri kerana asyik ajak kakaknya bermain seperti di rumah. Saya bimbang ia tidak menyenangkan jemaah di situ lalu saya tidak lagi meneruskannya.

Saya ingin cuba lagi, semoga Allah permudahkan dan beri kekuatan pada saya untuk istiqamah.

Leave a comment