Munajat Cinta Suami Yang Diuji | Petikan Majalah Solusi Isu No.23

Wahai Isteri,

Kumulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihanmu juga.

Ya Allah…aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan  akhirat kami. Mudah-mudahan keluh-kesah, resah gelisah kami menerima ketentuan-Mu ini, Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya kami sebagai hamba-Mu yang berdosa. Semoga kesedihan dan kebimbangan kami dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju-Mu di jalan mujahadah.

 

Kami lemah ya Allah…namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud yang baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah…agar ujian ini menjadi tebusan bagi dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba, ya Allah…ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami  ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina.

 

Syukur ya Allah…Kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasa hakikat cintaMu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.

 

Isteriku,

Suratmu telah kubaca. Terima kasih sayang. Membacanya seperti membaca hatiku. Aku tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya menulis, siapa lagi yang sebenarnya membaca…kerana suratmu adalah suara hatiku…suara hati kita bersama !

 

Aku cuba tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Perpisahan sebenar bukanlah kerana jaraknya diri tetapi sebab retaknya hati. Perpisahan ini sesungguhnya mendekatkan hati dan menyuburkan cinta kita. Kita akan semakin rapat oleh perpisahan ini, insya Allah.. Yakinlah kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan lebih manis. Perpisahan ini adalah harga kepada saat yang pasti tiba itu, insya Allah.

 

Terpaksa Berpisah

Aku pergi menuju Allah. Memperbaharui langkahku, menguatkan jiwaku untuk memburu cinta-Nya. Dan dengan itu aku akan mencintaimu dan anak-anak dengan cinta yang lebih suci. Kau ikutlah di sisiku saying, di jalan baru yang belum tentu bagaimana pula likunya. Maniskanlah malammu dengan solat dan munajat. Sibukkan siangmu dengan penuh tanggungjawab dan bersemangat.

 

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariatNya dengan bersungguh-sungguh. Selama ini kita terlalu banyak berlakon dan bermain-main dengan berbagai-bagai kemalasan dan alasan.

Aku gembira dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya sakit dan ubatnya pahit. Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apatah lagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu :

 

Ya Allah…

Ampunilah dosa-dosa isteriku seperti mana aku telah redha dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya…dengan Kau suburkan selalu hatinya dengan rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin dan berharap terhadapMu.

 

Ya Rahim…

Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar ditangannya nanti zuriat-zuriatku menjadi soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.

 

Ya Rabbi…

Lembutkanlah hati isteriku agar mudah dia mengadu-ngadu padaMu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta daripadaMu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih padaMu.

 

Banyak Diuji

Sayang, hikmah ujian yang menimpa kita terlalu banyak. Ia adalah ubat dan baja dalam rumahtanggan yang telah kita bina sekian lama. Cinta kita sesungguhnya tidak pernah berubah, tetapi ia perlu kemanisan dan hiasan baru supaya serinya bertambah.

 

Cinta kita kuat getarannya, namun kurang matang. Kita terlalu menurutkan perasaan. Baik aku mahu pun kau kekadang tersasar kerana “terlalu” cinta, lantas menjerumuskan diri kita ke jurang “melulu”. Apabila melulu kita akan terlepas daripada kendali sejati iaitu Allah dan ikatan sejati iaitu perkahwinan kita.

 

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Apabila cinta telah terputus daripada cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta-cinta yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini keadaannya, pertemuan pun masih perpisahan. Tapi apabila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan.

 

Allah telah selamatkan kita daripada perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tidak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang, kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini. Ia menguatkan kembali ikatan perkahwinan kita.

 

Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata-mata. Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Makhluk yang terikat dengan kita atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Musnah sementara dan akan musnah abadi. Tegasnya, perpisahan ini ialah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, bapa, anak-anak dan sanak saudara. Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila.

 

Ketika itu jika hati kita tidak bersedia…pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup dan paling khuatir terhakis atau tercabutnya iman. Isteriku…bergantunglah kepada Allah kerana hubungan kita denganNya tidak akan dicelah istilah janda, duda dan anak yatim, sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat dan tidak pasti akan diputuskan oleh mati. Justeru itu, anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti.

 

Hanya Pinjaman

Syukur kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau-kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah. Ketika itu bukan sahaja hati benci merasanya tetapi fikiran pun dikunci daripada memikirkannya…

 

Ya Allah, benci betul rupanya kita kepada realiti. Angkuh betul kita dengan pinjaman Allah. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita. Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali apabila tarikh memulangkannya sudah tiba. Kini, alhamdulillah. Pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara…Aku diserahkan kembali olehmu dank au diserahkan kembali olehku kepadaNya.

 

Didikan ini sangat mahal harganya…Inilah inti pati kepada satu ayat al-Quran yang sangat pendek. Allah berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.” (Surah al-Baqarah  2: 156)

 

Terimalah pertemuan yang hakiki itu nanti dengan menempah tiketnya sekarang…tiket itu adalah perpisahan ini. Setiap peristiwa besar mesti ada “mukadimah”nya. Tanpa”mukadimah” lintang-pukanglah jadinya jiwa kita nanti.

 

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini tetapi jangan sekali-kali terputus daripada berharap sesuatu yang terbaik. Berdoalah dengan rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi imbangilah kebimbangan itu dengan rasa yakin akan diperkenankan. Yang penting, pinta Allah tambahkan kesabaran, keimanan dan rasa tawakal kita kepada Allah.

 

Di daerah ini kendali diri mesti kuat. Apabila lalai sahaja daripada mengingati Allah, deraan perasaan akan segera datang. Maka ketika itu terkial-kiallah kembali hati ini mencari kekuatannya iaitu iman. Prasangka dan bimbang yang bukan-bukan mesti dilontar jauh-jauh. Tawakal mesti dibina. Berserah dan pasrah sudah wajib, mainan “kalau”, “jika” atau “nanti” mesti dihentikan.

 

Yang Dirindu,

Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugasmu yang sedia ada dan bertambah lagi akibat perpisahan ini. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Sama ada hubungan kita dengan Allah atau dengan manusia.

 

Orang yang diuji mudah melakukan perubahan. Tidak boleh sekali-kali digugat kekesalan dan penyesalan masa lampau. Nanti akan timbullah “kalau tak begini dulu…taklah begini” dan pelbagai “kalau” lagi. Ini akan menyebabkan kita putus asa dan lemah menghadapi hidup. Apa yang penting katakana begini, “Ini realiti, ini takdir yang sudah ditentukan sejak azali.”

 

Sama seperti pertemuan kita, perkahwinan kita, percintaan kita, kasih sayang kita dan lain-lain. Cuma bezanya, yang baik-baik dan yang manis-manis mudah kita terima. Yang buruk-buruk dan pahit-pahit susah kita terima. Sedangkan ilmu di sisi  Allah kita tidak tahu, mana hakikatnya yang manis, mana yang buruk, mana yang baik ? Bukankah di sisi Allah ada yang lebih tersirat ?

 

Bertemu tidak jemu. Berpisah tidak gelisah . Jangan bersedih…berani dan tabahlah demi cinta Allah !

 

Petikan Majalah Solusi Isu No.23

Advertisements

One thought on “Munajat Cinta Suami Yang Diuji | Petikan Majalah Solusi Isu No.23

  1. Ya Allah. Terima kasih atas perkongsian yg bermanfaat ni. Terima kasih sgt sy ucapkan. Ia bina semula semangat sy kerana Allah sedang uji sy skrg. 🙂 teruskan lg

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s