Damaikanlah Hati Kami

‎[10]
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Petikan hadis dari saifulislam,

“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.”

[Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]

Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.

“اللهم أرنا الحق حقاً، وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً، وارزقنا اجتنابه، ولا تجعله ملتبساً علينا فنضل، واجعلنا للمتقين إماما “

“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap kami hingga kami tersesat, dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang bertaqwa”

Kedudukan

Menarik perkongsian ini dari seseorang

‎”Jika ada orang bicara mengenai kita di BELAKANG, itu adalah tanda bahawa kita sudah berada di DEPAN.”

Bukanlah kedudukan di DEPAN itu DEPAN atau di BELAKANG itu BELAKANG. Depan atau belakang belum tentu kita selamat di DUNIA mahupun AKHIRAT.

Maka rasa seronok bila dipuji dan sakit bila dikeji itu tidak perlu di bandingkan dengan kedudukan di DEPAN atau di BELAKANG.

Anggaplah cakap-cakap di belakang itu sebagai markah bonus yang belum tentu cukup untuk memadamkan nilai -ve yang tidak seimbang dalam timbangan pahala dan dosa.

Nilai pahala dan dosa pula bukan kita yang berhak mengadili kerana masuknya seseorang ke Syurga Allah bukan kerana pahala amalannya semata-mata, sebaliknya ia adalah dengan Rahmat Allah. Mohonlah keampunan dan Rahmat Allah.

Jangan pula memohon ampun dan Rahmat ketika hati masih berniat melakukan dosa.

Setiap hari, saya membaca entry baru dari KRTS dan setiap entry ada aura yang membuka mata saya. Hari ini, ia membuka mata dan hati saya supaya KAGUM hanya pada Allah. Yang lain tak layak dikagumi. Termasuklah diri sendiri.

Lalu jangan sekali-kali KAGUM dengan diri sendiri walaupun telah dikeji dan caci ( dengan anggapan kita telah berada di DEPAN ). Na’uzubillah.

Sedikit petikan dari Tuan Rumah KRTS yang membuka mata saya…

Saya bercakap benar malah sedikit berterus-terang dalam soal-soal yang tidak mampu atau tidak mahu saya lakukan.

Ada juga yang berkata, “hilang sudah kekaguman saya pada Prof. Ia tidak seperti yang saya sangkakan”.

Lalu saya menjawab, “alhamdulillah, saya tidak berhak dikagumi. Saya sendiri berasa hina, fakir dan ketakutan di dalam melayari kehidupan ini. Kagumlah kepada ALLAH SWT, malah jadilah Baginda SAW sebagai ikutan”.

Jangan terlampau hampir dengan seseorang kerana memujanya. Manusia sangat banyak kelemahannya.

Terlampau banyak sehingga boleh menyebabkan kita bersedih hati. Cuma sesekali kita harus berfikir, wajarkah kita begitu?

Akhirnya kita kembali kepada DIA yang satu!

Semoga kamu menjadi lebih baik

Akhirnya, dalam setiap tindakan – sabarlah…. sabarlah… sabarlah…. dan perbanyakkan solat. Moga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

(KRTS)

Hari yang menduga rasa hati diubati dengan entry dari KRTS. Allahurabbi, ia amat menduga. Pagi-pagi lagi terasa berat hendak ke tempat kerja kerana di tarik sedikit ni’mat sihat siaga. Namun, Alhamdulillah diberi kekuatan dengan mengingatkan diri bahawa cuma tinggal 4 hari. Minggu depan boleh berehat secukupnya.

Banyak lagi eviden yang belum disemak, banyak juga skrip PPT yang perlu dikejar dateline. Satu kelas telah selesai, cuma markah belum dimurnikan dalam bentuk peratus. ( Ini langsung tak jadi masalah).

Satu kelas lagi, saya belum sentuh kertasnya. 38 calon x 2 skrip. Itu belum eviden untuk 3 kelas lain. Mana boleh nak cuti sesuka hati macam ni!

Hendak dijadikan cerita, saya perlu menggantikan seorang rakan setugas yang tidak  hadir di kelas yang agak mencabar kesabaran hampir semua rakan yang mengendalikan mereka.

Sewaktu saya masuk, hampir 12 orang pelajar lelaki sedang bersembang. Meja dan kerusi sudah tidak pada kedudukan asalnya. Langsung tak diendahkan saya. Kelihatan mereka mula ‘lebih’ apabila kaki yang sepatutnya letak dilantai dinaikkan ke atas meja sedang saya dihadapan.

Allah… Kali pertama, saya ucapkan begini.

” Dengan segala hormatnya, saya persilakan awak duduk dengan gaya duduk seorang pelajar. Siapa yang bukan pelajar kelas ini sila balik ke kelas awak.”

Kata-kata saya tenggelam dalam gelak tawa mereka begitu sahaja. Langsung tak ada harga kerana saya bukan tenaga pengajar rasmi kelas mereka. Nasihat saya berulang lebih dari tiga kali menyebabkan mood saya bertukar marah. Lalu saya katakan,

” Agaknya mak ayah awak memang ajar duduk yang betul macam ni kat rumah. “

Menyirap darah mereka mendengar kata2 saya, lalu salah seorang dari mereka bangun sambil menuding jari telunjuk pada saya. Begini kata2 anak melayu bergelar pelajar yang baru berusia 15 tahun.

“Mak ayah engkau aku tak pernah sebut, kau jangan sekali-kali sebut mak ayah aku!”

Berderai airmata saya sambil dengan kuat saya katakan ” Alhamdulillah…”. Mereka keluar dari kelas begitu sahaja. Tinggal beberapa orang yang masih terkebil-kebil.

Hancur hati saya mengenangkan jika ditempat itulah nanti kedudukan anak-anak saya! Lalu saya mohon Allah jauhkan seluruh zuriat keturunan saya dari perlakuan biadab begitu.

Gagalkah kami para pendidik membentuk akhlak mulia mereka jika sudah sampai begini sekali sikap anak melayu beragama islam?

Tulus buat kamu anak-anak yang saya kasihi, ketahuilah;

Marahnya kami pada kamu berakhir sekali dengan langkah kami meninggalkan kelas kamu,

Marah itu tandanya kami masih letakkan kamu penting dalam agenda pekerjaan kami

Tanda kasih kami mahu membentuk kamu menjadi orang yang tahu adab

Marahnya kamu bila diungkit nama ibu dan ayah

sedangkan kamu tidak pernah membawa nama mereka selayaknya

Semoga Allah memberikan kamu taufik dan hidayah

Sekurang-kurangnya kamu bakal menjadi anak yang  nampu mendoakan kedua orang tua kamu nanti

Ingatlah anak-anak….

“Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar-raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.” ( HR. At Tirmidzi no. 3334, Ibnu Majah no. 4244, Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). At Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini hasan.)

Ameen

Kepada Allah, saya panjatkan kekuatan.

Allahumma fakkihna fi ddin… wa ‘allimna tta’wiil…. wahdina sirootokal mustaqiim..

Dalam satu tazkirah, saya mendengar ustaz mengatakan.

Apabila seorang hamba itu di kasihi oleh Allah, maka sekalian makhluk juga turut mengasihinya.

Saya terima ianya sebagai penanda aras pencapaian saya dengan Dia. Hanya keampunan saya panjatkan padaNya. Doakan saya dan kami semua para pendidik diberikan petunjuk dan hidayah dalam menjalankan amanah besar ini.

Rahsia Khusyuk dalam Solat

RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?”

Hatim berkata : “Apabila masuk waktu solat aku berwuduk’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wuduk’ zahir dan batin itu?”

Hatim berkata, “Wuduk’ zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk’ dengan air. Sementara wuduk’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat

2. menyesali dosa yang dilakukan

3. tidak tergila-gilakan dunia

4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya’)

5. tinggalkan sifat berbangga

6. tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Sirratul Mustaqim’ dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku ruku’ dan sujud dengan tawaduk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

“SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwuduk dengan wuduk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan rukuknya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim

Huraian:

  • Agak menghairankan apabila didapati ada orang yang mengerjakan sembahyang, tetapi masih tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat. Mengapa? Jawapannya adalah kemungkinan besar kerana sembahyang yang dikerjakan itu sebenarnya tidak ikhlas kepada Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk, riyak dan takbur. Sembahyang yang sedemikian ini sama sekali tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap jiwa dan pembentukan peribadi serta tidak dapat menjamin serta mendinding diri daripada melakukan perkara-perkara negatif dan maksiat.
  • Sesungguhnya sembahyang dalam erti kata yang sebenar ialah sembahyang yang dikerjakan dengan hati yang khusyuk dan menghayati setiap apa yang dibaca. Hasilnya ia berupaya mendidik seseorang kepada pembangunan sahsiah muslim yang sejati. Hal ini bermula dengan berwuduk yang menganjurkan kebersihan tubuh badan serta pakaian, sehinggalah kepada geraklaku dan tatatertib khusus yang perlu diiltizamkan oleh orang yang sembahyang.
  • Sembahyang berjamaah contohnya, mendidik seseorang itu mematuhi seorang ketua yang tidak harus bagi seorang makmum mendahului imam dalam apa jua geraklakunya. Manakala dari hal menjaga saf-saf ketika bersembahyang pula memberikan satu pengajaran tentang kepentingan perpaduan dalam suatu masyarakat yang dipimpin.
  • Selain kebersihan zahir, sembahyang juga mampu melupuskan kotoran dosa yang pernah dilakukan kerana sembahyang merupakan satu-satunya peluang keemasan untuk setiap hamba mencari pengampunan dari tuhan-Nya. Usaha ini diseiringkan dengan amalan zikir dan doa-doa yang dibaca sewaktu sembahyang di mana ia akan menguatkan lagi hubungan dengan Allah S.W.T.

Anak-anak

Anak-anak pada 7 tahun pertama adalah tuan (ikut dan layanlah kehendak mereka), 7 tahun kedua adalah hamba (suruh mereka lakukan kerja-kerja rumah dan ibadah) dan 7 tahun ketiga adalah kawan (jadikan mereka rakan bicara). Sayyidina Ali krm

Anak adalah untuk zaman yang akan datang,bukan untuk zaman kita.Salahlah pendidikan orang tua yang hendak memperbuat anaknya seperti mereka juga. ( Hamka).

Peliharalah anak-anakmu dan perbaikilah budi pekerti mereka.Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah Allah kepadamu. ( maksud hadis ).

Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,sedekah jariah,ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh mendoakannya.

( Maksud hadis ).

Anak yang ditinggalkan ayah jarang yang tidak luka jiwanya sampai besar. (pepatah Melayu).

Sewaktu kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya,kerana dia tupuan harapan,maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan hidupnya. ( Hamka).

Ikhlas dan sejati akan bertemu di dalam senyuman anak kecil,senyum yang sebenarnya senyum,senyum yang tidak disertai apa-apa. ( Hamka ).

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !


Sebelum Hari Guru

Teragak-agak sebenarnya saya ingin kongsikan kisah ini. Semoga tidak ada yang tersilap tafsir…

Peristiwa terjadi di sebuah sekolah di Malaysia 3 hari sebelum sambutan hari guru.

Kisah mengenai seorang guru, berada dalam jawatankuasa disiplin sekolah. Guru cuba menegur seorang pelajar kerana dilihat berada di kawasan tidak sepatutnya semasa p dan p berjalan. Pelajar tersebut ialah pelajar yang beliau sendiri pernah mengajar, namun bila ditegur pelajar menjawab dengan biadab. Bila dipanggil namanya, dia menjawab ” So what!!!!??”.

Kekangan masa, guru ini perlu berkejar untuk ke raptai sambutan hari guru di luar sekolah tidak dapat meneruskan sesi penjelasan dengan pelajar terbabit. Kaunselor dihubungi, dan dimaklumkan.

Selang beberapa ketika, seorang guru lain terpandang pelajar yang ditegur oleh guru pertama tadi memegang pisau sambil berjalan melintasi laluan kaki lima. Lantas, berlaku pergelutan merampas pisau tersebut sambil dibantu oleh beberapa pelajar lain. Pelajar bermasalah tadi menangis, dan dipanggil ke bilik KB namun dia dengan selamba keluar dari bilik KB begitu sahaja.

Hari berikutnya, pelajar ini masih datang ke sekolah dan dimaklumkan oleh rakan-rakannya membawa senjata lain pula. Kes dirujuk kepada pentadbir dan sidang kes diadakan sehari sebelum sambutan hari guru. Hasil sidang kes, didapati :

  • Pelajar tersebut mengalami masalah dalaman yang teruk
  • Ibu dan bapa berpisah
  • Ayah yang panas baran
  • Minggu sebelumnya pernah di pukul oleh ayahnya menggunakan iron board
  • Tekanan emosinya, menyebabkan dia membawa senjata ke sekolah supaya dapat memberikan senjata itu kepada guru disiplin yang menegurnya tadi, terserah jika guru itu mahu mencederakan dia.
  • Jika guru itu enggan, dia berhajat melukakan dirinya di hadapan guru tersebut.
  • Dengan konsep sekolah penyayang, salah seorang ahli dalam sidang kes mengutarakan cadangan solusi supaya pelajar ini ‘dinasihatkan’ untuk berehat dari sesi persekolahan.
  • Cadangan tersebut di bangkang oleh ahli sidang yang lain, kerana ‘dinasihatkan’ itu bukan sejenis hukuman sedangkan membawa senjata ke sekolah adalah kes berat.
  • Akhirnya sidang bersetuju pelajar di buang sekolah.

Motif saya mengutarakan kisah ini ialah….. mahu menyatakan bahawa punca masalah disiplin pelajar ialah masalah dari rumah. Akibatnya, mereka beronar di sekolah dan memaksa guru untuk memikirkan masalah mereka malah membuang masa guru yang sepatutnya diperuntukkan 100% untuk mengajar kepada penyelesaian kes disiplin.

Mereka membabitkan pula keselamatan pelajar lain malah guru sendiri. Masalah datang daripada keluarga, tetapi bila berlaku kejadian tidak diingini kesalahan diletakkan kepada pihak sekolah.

Wajarkah kami dipersalahkan jika pelajar tidak cemerlang? Kami tidak cukup tangan dan masa untuk menangani terlalu banyak cabang tugas mengatasi ruang masa pengajaran dan pembelajaran.

Tolonglah kami membentuk anak-anak bermula dari asuhan pertama di rumah.

 

This entry was posted on May 16, 2012.

Istimewa buat pendidik

Sempena Hari Guru, seorang teman sejawat menghulurkan bingkisan berwarna kuning tulisan tangan beliau. Sungguh saya tersentuh membacanya pada awal pagi sambutan hari istimewa untuk warga pendidik.

Teringat kedua ibu bapa, pendidik pertama dalam sejarah pendidikan saya sendiri. Seterusnya guru-guru yang pernah mendidik saya, malah guru-guru yang kini sedang mendidik anak-anak saya…..

Warkah tersebut berbunyi begini.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Memang sunnah orang berjuang, walau berbagai usaha dilakukan namun hanya  segelintir yang menerima dengan baik. maka pujuklah hatimu dengan hadis Nabi s.a.w yang mafhumnya:

“Andaikata Allah memberikan hidayah kepada seseorang kerana hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya”

 Untuk menambah saham akhirat kita, marilah kita sentiasa mendorong manusia ke arah kebaikan kerana, sabda Nabi s.a.w mafhumnya:

Orang yang memimpin atau mendorong ke arah kebaikan mendapat pahala seperti orang yang membuat kebaikan tersebut”

 Dalam melaksanakan mal makruf dan nahi mungkar kita perlu berada di dalam satu saff yang saling bantu membantu semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan bantuan Allah s.w.t .

Firman Allah,

 إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

( As saaf : 4 )

Apabila kita merasa keletihan dalam usaha dakwah ini, ingatlah kepada hadis ini supaya kita sentiasa redha.

“Sesiapa yang merasa letih pada petang hari kerana usaha yang dilakukan pada waktu pagi, maka dosanya telah diampunkan”

 Iringilah usaha kita dengan doa, kerana Allah berfirman

وَقَالَ رَبُّڪُمُ ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَعَنۡ عِبَادَتِى سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

mafhumnya,

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina.

( Ghaafir : 60)

Ingatlah satu hadis mafhumnya:

Laluilah kehidupan ini sebagaimana yang kamu kehendaki tetapi ingatlah kamu pasti menemui kematian. Cintailah sesiapa sahaja yang kamu inginkan tetapi ingatlah kamu akan berpisah dengannya. Buatlah apa yang kamu suka tetapi ingat, setiap amalanmu pasti dibalas. 

KEMULIAAN SEORANG MUKMIN TERLETAK PADA QIAMULLAILNYA DAN KEHEBATANNYA ADALAH APABILA IA TIDAK BERGANTUNG KEPADA SESIAPA KECUALI ALLAH.

SELAMAT HARI GURU

IKHLAS  DARI,

MAKDIS 2012

This entry was posted on May 16, 2012.

Senarai Semak Instrumen PBS Sejarah

PBS buat kami demam loya memikirkan bagaimana mahu melaksanakan amanah dengan cara terbaik. Ibarat orang mengandung anak sulung yang kali pertama mengalami alahan.

Setiap hari memikirkan cara terbaik, malah suasana sembang di stesen kerja kami juga mula berubah rentak. Hampir setiap tutur bicara menyatakan itu dan ini tentang pandangan sisi masing tentang subjek dan istrumen pentaksiran.

Lalu saya terfikir, apakah nanti nasib anak-anak saya juga bila mereka sudah melangkah ke alam yang melayakkan mereka ditaksir.

Sekadar berkongsi sedikit buah fikiran, rasanya tidaklah salah saya mengemukakan satu contoh borang semakan untuk subjek saya. Jika ada pandangan yang lain, silalah berikan cadangan.

SENARAI SEMAK INSTRUMEN PENTAKSIRAN SEJARAH

Saya masih pening, namun dalam pening saya tak boleh terlalu layan perasaan ibarat orang alahan melayan rasa malas dan terus tidur. Sebaik balik dari kursus penataran baru-baru ini, saya terus gunakan rangka yang telah dibengkelkan.

Saya cuba dengan memberikan versi penuh coverage evidens untuk satu bab. Saya mulakan dengan Bab 1. Penerimaan pelajar? Hampir dapat serangan jantung rupanya saya!

Tidak, saya tak boleh teruskan cara itu. Perlu saya tekankan Band 1 sahaja! Tak boleh cover satu bab. Ia membazirkan kertas dan buang masa. Lalu dengan keterbatasan masa saya olah semula bahan2 yang ada, siapkan contoh instrumen untuk Band 1.

Contoh Eviden untuk PENILAIAN BAND 1

Sempat saya siapkan juga PENILAIAN BAND 2

Silalah gunakan jika ianya bermanfaat, tetapi jika ada penambahbaikan sila kongsi ya. Saya amat berharap akan ada buah fikiran yang lebih baik berganda2  dari saya untuk menghasilkan instrumen yang lebih tinggi keesahannya. Demi anak2 kita.

Semoga ada juga cendikiawan sejarah yang cergas pintar menyusun instrumen band seterusnya secepat mungkin. Saya dah cuba search, jika ada yang sudi menderma seawal ini, namun agaknya sama seperti saya masing2 masih pening dan mual…..

Semoga ini akan bermanfaat buat sesiapa yang memerlukan.

This entry was posted on May 14, 2012.

Sepuluh Perkara

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: “Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

1: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT…
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat
persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

3 : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan
membantu orang yang dizalimi.

4: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

5 : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

6: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka
membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7: HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada
ibubapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan
memperelok akhlak.

8: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala,
bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9: HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

10: HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan

This entry was posted on May 11, 2012.

Mata Yang Cerah

Saya membacanya dari wall FB seseorang..

 

DOA KUCUP IBU JARI UNTUK CERAH MATA DAN SYUFAAT

DOA INI DIBACA KETIKA AZAN BERKUMANDANG, SEMASA MUAZZIN SELESAI MELAFAZKAN KALIMAH أشهد أن محمد رسول الله .

MAKA DIBACA SATU KALI SAHAJA SETIAP KALI MUAZZIN MELAFAZKAN KALIMAH TERSEBUT.

JADI 2 KALI SETIAP SOLAT FARDHU.. rebutlah peluang ini semoga mata kita cerah dan mendapat syufaat dari Rasulullah.

Sabda Rasulullah: Sesiapa mendengar azan, temukan kedua dua hujung kuku ibu jari dan baca doa diatas kuku ibu jari, mengucup kuku kedua ibu jarinya dan meletakkan kuku kedua dua ibu jari pada kedua dua matanya dan membaca :

مَرْحَبًا بِذِكْرِ اللهِ تَعَالَى قُرَّةُ أَعْيُنِنَا بِكَ يَا رَسُولَ اللهِ
( hanya bacaan di atas yang perlu dibaca ).

Maka aku ( Rasulullah ) akan memberi shafaat padanya di hari Qiamat.

boleh juga dibaca bacaan dibawah :

لَقَدْ كُنْتَ فِى غَفْلَةٍ
مَنْ هَذَا
فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاْئَكَ فَبَصَرُكَ يَوْمَ الْحَدِيْدِ

Mata orang berbuat demikian akan cerah di dunia dan akhirat.

Rebutlah peluang ini semoga mata kita cerah dan mendapat syufaat dari Rasulullah.

This entry was posted on May 9, 2012.